10 Tips Senaman Untuk Bertenaga Di Pejabat – Sinar Kurus

Tips Senaman Untuk Bertenaga Di Pejabat

Nak bersenam tidak semestinya perlu ke gim, taman riadah atau pusat-pusat rekreasi, di dalam rumah atau di meja kerja juga boleh.Namun begitu, mencuri masa semata-mata untuk membuat sedikit senaman mungkin amat mencabar, terutamanya jika anda seorang yang ‘gila kerja’. Bersenam di pejabat juga mungkin mustahil. Tetapi jika hendak seribu daya, pasti ada caranya untuk anda kekal aktif dan cergas. Apa yang perlu hanyalah sedikit pengurusan dan juga inspirasi agar dapatlah anda selitkan sedikit aktiviti cergas yang mampu buat tubuh anda kekal bertenaga.

Mungkin anda sudah mengetahui beberapa cara bijak untuk kekal aktif di tempat kerja. Contohnya menaiki anak tangga berbanding lif ataupun eskalator apabila boleh, serta meletak kenderaan jauh daripada pintu masuk dan berjalan di sekeliling pejabat merupakan beberapa cara yang bagus untuk bermula. Selain daripada itu, kami kongsikan beberapa tips dan cadangan untuk membuatkan anda kekal aktif ketika waktu kerja.

Antaranya ialah;

  1. Duduk di atas bola senaman dan bukannya kerusi. Ini membantu menguatkan abdomen dan bahagian belakang anda serta membetulkan postur badan tanpa perlu bersusah payah.
  2. Tetapkan jam agar ia berdering setiap jam untuk mengingatkan anda berdiri dan bergerak. Walaupun sekadar mendepakan tangan ataupun menarik nafas panjang, anda akan rasa lebih cerdas.
  3. Gunakan tandas di tingkat yang lain. Untuk ke tandas, gunakanlah tangga.
  4. Gunakan pedometer dan rekodkan berapa langkah yang telah diambil. Sasarkan 10,000 langkah setiap hari.
  5. Hantar sendiri dokumen atau pesanan pada rakan sekerja berbanding menerusi e-mel ataupun telefon.
  6. Pergi makan tengahari di kompleks membeli belah dan letak kereta di hujung medan selera. Oh, jangan lupa membeli makanan yang sihat ya!
  7. Dapatkan headset untuk telefon agar anda bergerak semasa bercakap.

8. Mungkin organisasi anda masih belum peka yang pekerjanya akan jadi lebih produktif dengan adanya sedikit senaman. Jika boleh, galakkan pengurusan anda untuk sama-sama memulakan senaman ringan sebelum memulakan kerja.

9. Berusaha sama dengan gim berdekatan untuk memberikan diskaun keahlian untuk pekerja.

10. Menganjurkan atau hadiri kelas senaman seperti zumba, yoga, pilates, senam aerobik dan senaman kardio.

Selain itu, terdapat 3 jenis senaman mudah yang anda boleh praktikkan jika punya waktu terluang. Curi masa sikit la ya ketika waktu sela anda melepaskan tekanan dan penat mengadap kerja. Lagipun senaman ringan ini hanya memerlukan antara 5 hingga 10 minit sahaja.

Antara 3 jenis senaman mudah itu ialah :

1. Jadikan Meja sebagai Mini Gim

Anda boleh mencari perabot yang sesuai dejadikan sebagai peralatan senaman. Senaman ini boleh dilakukan selepas waktu kerja ataupun pada waktu rehat sahaja. Cara aktiviti ini adalah:

  • Lakukan dips dengan menjadikan kerusi atau sisi meja sebagai peralatan. Mulakan dengan memegang sisi kerusi atau meja dan bengkokkan sedikit lengan andda sambil menurunkan badan secara perlahan-lahan. Tahan beberapa saat dan bangkit semula secara perlahan lantas meluruskan kembali lengan yang dibengkokkan tadi.
  • Sambil menaip menggunakan laptop, cuba tengok apa yang ada di bawah meja.  Anda boleh mencuba angkat objek menggunakan kaki dan lakukan secara berulang.
  • Yang terakhir, ialah aktiviti tekan tubi dengan menopang tangan di sisi meja sambil menurunkan badan secara mendatar dan menolak semula tubuh ke posisi asal.

2. Back stretch mengunakan kerusi

Untuk senaman ini,  anda perlukan kerusi beroda dan boleh berpusing. Aktiviti yang boleh di lakukan ialah:

  • Letak tangan di atas meja serta cengkam meja dengan kuat serta tolak kerusi kebelakang sambil regangkan kepala ke hadapan supaya ianya berada di antara lengan anda.
  • Sambil lakukannya, lihat ke bawah pada lantai. Perlahan-lahan tarik diri ke dalam untuk melengkapkan regangan.

3. Jaga postur badan

Menurut Dekan Klinik Universiti Sains Kesihatan Lombard, Jeffrey Bergin berkata bahawa keadaan postur duduk yang teruk boleh menyebabkan bongkok atau tulang terbentuk secara abnormal.

  • Letakkan keyboard di paras yang bersesuaian dengan anda. Duduk dengan melentur dan tegangkan kaki pada sudut 90 darjah dan  tapak kaki dalam kedudukan yang selesa atas lantai.
  • Otot postur yang lemah akibat poster yang tidak baik berlaku kerana pengumpulan otot bertentangan menjadi tegang. Oleh itu, otot yang tegang perlu diregangkan dan otot yang lemah perlu ditegangkan. Senaman  yang boleh membantu menguatkan otot adalah shoulder squeeze dan juga backbends.

Justeru itu, perlu diingatkan bahawa senaman yang berterusan akan memberikan kesan positif ke atas kesihatan fizikal dan mental untuk jangka masa panjang, Selain dianggap sebagai terapi untuk stress atau tekanan hidup, senaman juga membantu membakar lemak yang terkumpul di samping menyingkirkan kolesterol jahat yang memudaratkan kesihatan. Apa yang penting, senaman yang kerap pastinya memberikan pulangan yang tidak ternilai.

2 Comments on “10 Tips Senaman Untuk Bertenaga Di Pejabat – Sinar Kurus”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *